Thursday 12 September 2013

Riadah Ikut Sunnah Rasulullah SAW

بسم الله الرحمن الرحيم

اللهم صل على محمد وآل محمد
Islam agama syumul yang mendidik umatnya untuk mencapai kebahagiaan akhirat tanpa meminggirkan persoalan duniawi. Justeru, amalan riadah atau bersukan menjadi sebahagian perkara yang perlu diberi perhatian bagi melahirkan masyarakat cerdas pemikiran dan kuat fizikal.
Umat Islam tanpa mengira usia dan kedudukan wajar memanfaatkan masa terluang dengan melakukan riadah dan bersukan untuk mengekalkan kecergasan tubuh badan seterusnya dapat menunaikan amal ibadah difardukan dengan sempurna dan penuh khusyuk.
.
Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan umatnya menjaga kesihatan, kuat serta terhindar daripada sebarang penyakit memudaratkan. Ini penting kerana kekuatan tenaga dan fizikal akan dapat melahirkan rasa gerun dalam kalangan musuh Islam yang sentiasa mengambil kesempatan untuk melakukan ancaman serta provokasi terhadap umat Islam.
Rasulullah SAW bersabda: “Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah berbanding daripada orang beriman yang lemah.” (Hadis riwayat Muslim)
Banyak hadis menyebut mengenai acara sukan yang sangat popular pada zaman Rasulullah SAW seperti memanah, menunggang kuda serta berenang.
Sabda Rasulullah SAW : “Lemparkanlah (lepaskanlah anak panah) dan tunggangilah (kuda).” (Riwayat Muslim)
.
.

Sunnah Dan Faedah Memanah,  Berkuda, Berenang

.

1.     Memanah

Rasulullah SAW juga sentiasa menunjukkan contoh terbaik kepada sahabat dalam soal ibadah mahupun perkara membabitkan kehidupan seharian. Contohnya, Baginda pernah menyertai sahabat yang bermain anak panah sebagai aktiviti riadah.
Bersabda Rasulullah SAW, “Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu.” (Riwayat Bazzar, dan Thabarani)
Diriwayatkan oleh Imam Bukhari mengisahkan: “Nabi SAW melalui satu kawasan di mana sahabat sedang memanah. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya datuk kamu, Nabi Ismail adalah seorang pemanah. Memanahlah dan aku bersama Bani Fulan (salah satu kumpulan pemanah).” Lalu kumpulan satu lagi berhenti memanah. Rasulullah SAW bertanya: “Kenapa kamu berhenti memanah?” Jawab sahabat: “Bagaimana kami hendak memanah kamu berada bersama kami.” Nabi SAW menjawab: “Memanahlah, aku bersama kamu semua.” (Hadis riwayat Bukhari)
.
Kebaikan Memanah
Melatih emosi dan fizikal untuk meletakkan target pada sasaran. Memanah sangat menitik beratkan body balancing. Maka jika pemanah emosinya tertekan, maka panahan amat mudah tersasar. Secara tidak langsung, sukan ini melatih manusia bertenang dan menstabilkan emosi.
Individu yang tidak tenang, gopoh, pemarah, kurang sabar atau kurang sihat mentalnya tidak akan menjadi pemanah yang baik.
Perbuatan melenturkan anak panah di busurnya, kemudian melepaskannya perlu satu kekuatan fizikal, sukan ini juga satu latihan holistik kepada diri seseorang dari segi fizikal dan mental.
.
.

 2.     Berkuda

Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah mengadakan pacuan kuda dan memberi hadiah kepada pemenangnya.” (Riwayat Ahmad)
“Demi Allah! Sungguh Rasulullah SAW pernah bertaruh terhadap suatu kuda yang disebut sabhah (kuda pacuan), maka dia dapat mengalahkan orang lain, Baginda SAW sangat tangkas dalam hal itu dan mengherankannya.” (Riwayat Ahmad)
Taruhan yang dibenarkan, atau yang dimaksudkan ialah suatu upah (hadiah) yang dikumpulkan bukan dari orang-orang yang menunggang saja atau dari salah satunya saja, tetapi dari orang-orang lain juga.
Adapun hadiah yang dikumpulkan daripada para penunggang, kemudian siapa yang unggul itulah yang mengambilnya, maka hadiah seperti itu termasuk judi yang dilarang. Dan Nabi sendiri menamakan tunggangan kuda seperti itu, iaitu yang disediakan untuk berjudi, dinamakan Kuda Syaitan. Harganya adalah haram, makanannya haram dan menungganginya juga haram. (Riwayat Ahmad).
Dan Rasulullah SAW bersabda: “Kuda itu ada tiga jenis: kuda Allah, kuda manusia dan kuda syaitan. Adapun kuda Allah ialah kuda yang disediakan untuk berperang di jalan Allah, maka makanannya, kotorannya, kencingnya dan apanya saja – mempunyai beberapa kebaikan. Adapun kuda syaitan, iaitu kuda yang digunakan untuk berjudi atau untuk dibuat pertaruhan, dan kuda manusia pula, adalah kuda yang diikat oleh manusia, ia mengharapkan perutnya (hasilnya), sebagai usaha untuk menutupi keperluannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim
.
Kebaikan Dari Segi Kesihatan
Berkuda amat baik untuk kesihatan manusia. Seluruh anggota tubuh badan dari kepala hingga ke kaki, dari fizikal hingga mental akan mendapat manfaatnya.
Bentuk lekuk badan belakang kuda – tempat di tunggang- baik untuk merawat segala masalah tulang belakang manusia.
Semasa pergerakan galloping iaitu cara rentak kuda melompat dan berlari, menyebabkan vetebra tulang belakang manusia bergesel antara satu sama lain dalam keadaan harmoni, dan meransang saraf-saraf tulang belakang, seolah-olah diurut, sedangkan pakar chiropraktik  pun tidak mampu berbuat seperti gerakan natural tulang-tulang veterbra semasa orang menunggang kuda.
Seluruh anggota : tulang rangka, otot-otot, organ-organ viseral – termasuklah sistem penghadaman, sistem  saraf, sistem voluntary mahupun involuntary, organ perkumuhan, malah geseran kepada organ-organ seksual akan teransang secara optimum untuk menjadi semakin sihat. Penunggang kuda yang hebat selalunya bebas dari mengalami sakit belakang atau ’ter’gelumang dengan tabiat-tabiat seks yang di luar tabie.  Selain itu menunggang kuda turut mencerahkan mata sebab terdapat ransangan terhadap saraf kranial semasa gerakan ‘galloping’ kuda.
.
.

3.     Berenang

Rasulullah SAW bersabda, “Ajarilah anak-anak kamu berkuda, berenang dan memanah”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasulullah SAW bersabda: Tiap-tiap sesuatu yang bukan zikrullah berarti permainan dan kelalaian, kecuali empat perkara: Seorang laki-laki berjalan antara dua sasaran (untuk memanah); Seorang yang mendidik kudanya; Bermain-mainnya seseorang dengan isterinya; Belajar berenang.” (Riwayat Thabarani)
Semasa berenang, mental, fizikal, segala otot dan tulang rangka digerakkan untuk membuat satu gerakan yang berkoordinasi antara dua anggota kaki dan dua anggota tangan, selain meransang stamina ( sistem kardiovaskular).
Berenang juga memberi peluang manusia untuk menguasai air serta menjadi berani.

.
.

4.     Gusti

Malah, ada riwayat menyatakan Rasulullah SAW pernah bergusti dengan ahli gusti kafir Quraisy bernama Rukanah Bin Abu Yazid bin Hashim. Peristiwa itu berlaku bila mana Rasulullah diminta membuktikan mukjizatnya.
Syarat pertandingan itu ialah jika Rasulullah menang, Rukanah akan memeluk Islam. Keputusannya, Rasulullah SAW dapat mengalahkan Rukanah dan memenangi pertandingan gusti yang diadakan tiga pusingan itu. Akhirnya, ahli sukan Quraisy itu memeluk Islam.
 .
.

5.     Berlumba Lari

Dalam satu kisah lain, Rasulullah SAW pernah bertanding berlumba lari dengan isterinya, Saidatina Aisyah ketika bermusafir. Ada ketikanya Baginda menang dan ada ketikanya Rasulullah SAW kalah dalam perlumbaan itu.
Semua ini membuktikan yang Islam mengharuskan kita bersukan. Pepatah Arab juga menyebut ‘otak yang cerdas datangnya dari badan yang sihat’.
Ini semua semenangnya selaras dengan kajian saintifik yang menganjurkan kesihatan melalui sukan.
.
.

6.     Peringatan

Dalam keghairahan berriadah dan bersukan, janganlah mengabaikan perkara yang dilarang syariat seperti mendedahkan aurat, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan selain lalai menunaikan kewajipan solat. Hindari acara sukan yang membabitkan perjudian.
Firman Allah: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami turunkan kepada kamu (bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan, dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah daripada tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).” (Surah al-A’raaf, ayat 26)
.
Satu perkara yang perlu diambil berat ialah sikap dan mentaliti penonton tatkala memberi sokongan kepada pasukan pilihan mereka. Jangan kerana terlalu taksub dengan pasukan kesayangan sehingga sanggup mengeluarkan kata-kata kesat dan biadap terhadap pemain lawan.
Allah SWT berfirman: “Dan taatlah kamu kepada Allah SWT dan RasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah Subhanahuwata’ala berserta dengan orang-orang yang sabar.”  (Surah al-Anfal, ayat 46)
.
Perkara yang paling sukar bagi mereka terbabit dalam sukan adalah menerima kekalahan dengan hati yang terbuka. Islam mengajar kita supaya tenang, berjiwa besar, reda, wasatiah dan bersikap rasional tatkala menerima keputusan di akhir pertandingan.
Paling menyedihkan, ada segelintir peminat sukan yang bergaduh sesama sendiri kerana bersikap emosional serta mudah mengikut telunjuk hawa nafsu.
.
Rasulullah SAW bersabda: “Tahukah kalian tentang sesuatu yang paling cepat mendatangkan kebaikan ataupun keburukan? Sesuatu yang paling cepat mendatangkan kebaikan,’ sabda Rasulullah SAW, ‘adalah balasan (pahala) orang yang berbuat kebaikan dan menghubungkan tali silaturahmi, sedangkan yang paling cepat mendatangkan keburukan ialah balasan bagi orang yang berbuat jahat dan yang memutuskan persaudaraan”   (HR Ibnu Majah).
Sukan bukan sekadar menguji kekuatan dan kehebatan fizikal tetapi lebih jauh lagi ia membina hubungan ukhuwah serta silaturahim demi perpaduan ummah. Janganlah kita mudah dihasut oleh syaitan yang ingin melaga-lagakan umatnya supaya sentiasa bertelingkah dan bermusuhan.
.
Nikmat kesihatan yang dikurniakan Allah SWT wajar dimanfaatkan secara betul menurut landasan syariat supaya kita menjadi mukmin atau mukminah bertakwa kepada Allah serta bersedia menabur khidmat dalam masyarakat.
.
Wallahu A’lam bishowab
.

والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته


Bahaya Syiah dan Ancamannya Terhadap Akidah Umat Islam

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Syiah ialah satu mazhab yang mendakwa Saidina Ali k.wj sebagai pengganti Nabi Muhammad SAW yang sah dan lebih utama daripada para sahabat lain. Golonga Syiah merendah-rendahkan kedudukan para sahabat Nabi SAW serta mengkafirkan mereka terutamanya tiga khalifah al-Rasyidin iaitu Saidina Abu Bakar r.a, Saidina Umar r.a. dan Saidina Uthmanr r.a.

Ringkasnya, Syiah memperkatakan sesuatu yang tidak layak serta merendahkan kedudukan khulafa al-Rasyidin, para sahabat dan sebahagian isteri-isteri Nabi SAW. Inilah perkara pokok yang membezakan golongan Syiah daripada golongan-golongan Islam yang lain terutamanya Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Ulama terkenal, Syeikh Sa’id Hawwa dalam sebuah risalahnya berkaitan Syiah menyenaraikan beberapa penyelewengan mereka.

Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Syiah percaya bahawa para imam mereka adalah maksum sehingga mengatasi Nabi dan bebas daripada dosa atau tidak berdosa. Menurut Syiah lagi, para Imam Syiah bebas daripada kesalahan, ghaflah (lalai) dan lupa sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja serta kedudukan imam itu mengatasi kedudukan kenabian.

Perkara ini menurut ulama Syiah adalah ijmak atau kesepakatan golongan terdahulu dan terkemudian Syiah. Oleh kerana itu para imam Syiah mempunyai kuasa mutlak dan hak serta pemilihan dalam menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.

Kedua : Syiah percaya bahawa al-Quran yang wujud di tangan kaum muslimin pada hari ini telah mengalami perubahan. Perkara ini diakui oleh ulama mereka seperti al-Kulaini dan Muhammad Baqir al-Majlisi dalam karangan mereka. Syiah mendakwa mereka memiliki al-Quran yang disebut sebagai “Mashaf Fatimah” dan ianya tiga kali ganda banyaknya daripada al-Quran yang kita miliki.

Lihatlah bagaimana orang Syiah menganggap bahwa Al Quran yang ada di tengah-tengah kita belum sempurna. Dan lihatlah bagaimana Syiah berdusta atas nama Saidina Ali k.wj. Mereka menyatakan bahawa hanya Ali bin Abi Talib yang boleh mengumpulkan Al Quran.

Secara langsung orang Syiah telah membantah firman Allah SWT :

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

Maksudnya : “Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redai Islam itu jadi agama bagimu.” (Surah Al Maidah ayat 3).

Ayat ini menunjukkan bahawa Islam telah sempurna, begitu pula Al Quran.

Ketiga : Syiah tidak mengiktiraf hadis-hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh kebanyakan para sahabat seperti Abu Hurairah r.a, Samrah bin Jundub r.a, Amr bin al-Ass r.a. dan sebagainya. Syiah juga menolak hadis-hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin Saidatina Aisyah r.ha.

Menurut Syiah, umat Islam telah kufur selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW kecuali tiga atau empat orang sahabat iaitu al-Miqdad bin al-Aswad r.a, Abu Dzar al-Ghifari r.a. dan Salman al-Farisi r.a. kerana mereka tidak berpegang dan tidak mempercayai hadis-hadis yang diriwayatkan oleh para sahabat bahkan meletakkan hadis-hadis tersebut dalam kelompok hadis-hadis palsu. Syiah hanya menerima hadis-hadis yang diriwayatkan oleh ahli al- bait atau kerabat Nabi SAW sahaja.

Sahabat yang dihormati,
Dr. Musa al-Musawi, seorang yang dibesarkan dalam sebuah keluarga terhormat di kalangan masyarakat Syiah menulis sebuah buku mengajak para penganut fahaman Syiah pada hari ini untuk kembali memperbetulkan kepercayaan yang telah diselewengkan dan menyalahi pegangan Islam yang sebenar. Tegasnya, kebanyakan kepercayaan dan pengamalan Syiah pada hari ini adalah rekaan atau perkara yang diada-adakan oleh ulama serta pemimpin Syiah. Antara perkara yang ditegaskan oleh beliau ialah:

Pertama : Penganut fahaman Syiah mengamalkan taqiyyah atau berpura-pura. Ianya bermaksud melaksanakan sesuatu yang bersalahan dan berlainan daripada kepercayaan. Sebagai contoh penganut fahaman Syiah membawa batu atau tanah Karbala dan sujud di atasnya ketika solat di masjid penganut Syiah dan menyembunyikan batu tersebut ketika solat di masjid-masjid bukan penganut Syiah.
(Dalam Islam berpura-pura adalah sifat munafik yang dilarang keras oleh Allah SWT.)

Kedua : Penganut fahaman Syiah mengadakan upacara perkabungan ke atas kematian Saidina Husain pada Hari Asyura, 10 Muharram dengan berdukacita meratap dan menangis kesedihan, memalu (memukul) serta menyeksa tubuh badan dengan rantai besi, benda tajam atau sebagainya.
(Amalan ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam kerana amalan menyeksa diri adalah haram dan berdosa.)

Ketiga : Penganut fahaman Syiah mengamalkan Mutaah yang bermaksud kahwin kontrak atau sementara. Iaitu berkahwin dengan seorang perempuan atau lebih tanpa saksi dan tanggungjawab nafkah dalam tempoh beberapa jam, semalaman, seharian atau lebih. Mereka berpendapat bahawa kahwin Mutaah adalah diharuskan dengan syarat wanita itu tidak bernikah atau bermutaah dengan sesiapa.
(Dalam hadis riwayat Muslim jelas nikah Mutaah telah di batalkan oleh Allah SWT sedangkan Syiah masih mengamalkan dan mengharuskannya pula.)

Keempat : Penganut fahaman Syiah sujud di atas batu atau tanah Karbala yang dibawa oleh mereka ketika solat. Mereka juga menganggap wujudnya keberkatan daripada batu tersebut dengan menciumnya ataupun memakannya sebagai penawar menyembuhkan penyakit. Batu tersebut adalah cebisan tanah yang diambil daripada perkuburan Saidina Husain di Karbala.
(Amalan ini adalah amalan kurafat yang boleh merosakkan akidah umat Islam)

Kelima : Penganut fahaman Syiah meninggalkan Solat Jumaat dengan alasan Solat Jumaat hanya wajib ketika wujud atau hadirnya Imam al-Mahdi. Namun, ketika ketiadaan Imam al-Mahdi, mereka boleh memilih sama ada melaksanakan Solat Jumaat atau melaksanakan solat Zohor. Umumnya, penganut Syiah meninggalkan solat Jumaat.
(Berdosa besar meninggalkan solat Jumaat kerana solat Jumaat telah difardukan oleh Allah SWT di dalam al-Quran)

Keenam : Penganut fahaman Syiah mengamalkan jamak solat fardu iaitu Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak sama ada di dalam musafir atau tidak tanpa sebarang sebab. Walaupun ulama Syiah menfatwakan sunat hukumnya solat pada waktu-waktunya. Namun, dari sudut pengamalan mereka lebih mengamalkan jamak di antara dua solat, Zohor dan Asar dan Maghrib dan Isyak. Perkara ini boleh dilihat diseluruh tempat-tempat solat yang diurus oleh penganut-penganut Syiah.
(Umat Islam daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak menjamakkan solat fardu melainkan dalam musafir atau ada perkara penting yang diharuskan jamak dua solat fardu)

Sahabat yang dimuliakan,
Penyelewengan kepercayaan dan pengamalan Syiah yang berbeza daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah jelas. Syiah menafikan dan menolak al-Quran yang ada di tangan kita pada hari ini. Syiah menolak hadis-hadis atau riwayat-riwayat para sahabat besar Rasulullah SAW seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan lain-lain. Penganut fahaman Syiah mengamalkan amalan-amalan yang telah difatwakan bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar oleh para ulama dan institusi-institusi Islam.

Hadis daripada Irbid bin Sariah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya) :
“Sesungguhnya aku telah tingggalkan bagimu agama yang jelas nyata dari sebarang kesamaran. Jelasnya diibaratkan gelap malam gelita seperti siang harinya. Sesiapa pun tidak akan tergelincir darinya selepasku melainkan mereka yang ditakdirkan binasa. Sesiapa yang hidup selepas itu akan melihat kekeliruan yang banyak sekali. Maka hendaklah kamu berpegang dengan apa yang telah kamu ketahui dari sunnahku dan sunnah khulafa’ rashidin yang terpimpin. Peganglah kepercayaan itu dengan teguh”. (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Hadis di atas menjelaskan bahawa Khulafa al-Rasyidin iaitu Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman dan Saidina Ali adalah para pemimpin yang terpimpin dengan tunjuk ajar daripada Nabi Muhammad SAW. Begitu juga sekalian para sahabat, mereka adalah umat terbaik selepas kewafatan Baginda SAW. Justeru, kita sebagai muslim mestilah berhati-hati dengan kepercayaan, pegangan dan ideologi yang jelas menyalahi serta menyeleweng daripada perkara asas dalam ajaran Islam, apatah lagi yang telah diwartakan sesat, menyeleweng dan seumpamanya. Dalam menghadapi kemelut kepercayaan, para ulama adalah mereka yang berkelayakan untuk kita rujuk. Sesungguhnya Islam adalah agama yang jelas kebenarannya dan jelas juga batas-batas kekufurannya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa ayat 59 maksudnya :
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Sekiranya kamu berselisihan dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya”.

Dalam surah An Nuur, Allah membantah orang-orang yang menuduh Aisyah –isteri Rasulullah SAW yang mulia dengan tuduhan keji iaitu berzina. Hal ini menunjukkan orang-orang Syiah sangat benci terhadap Aisyah –puteri Abu Bakr- bahkan sebagian ulama mereka sampai mengkafirkan Aisyah dan menyatakan Aisyah itu di neraka. Na’udzu billahi min dzalik. Semoga Allah melindungi kita dan keluarga kita dari kesesatan ajaran Syiah.

Sahabat yang dikasihi,
Berhati-hatilah dengan golongan Syiah ini kerana mereka bukan sahaja terdapat di Iran dan Iraq tetapi golongan ini telah bertapak di nusantara (Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei). Mereka cukup fanatik dengan ajaran Syiah. Mereka cuba menyerap masuk dan mensyiahkan para pelajar IPT dan pendakwah Islam. Yang menjadi tanda tanya ada sebahagian 'ustaz' kita boleh terpengaruh dengan ajaran Syiah. Kerajaan Iran mempunyai dana yang besar dan cuma menyebarkan fahaman Syiah ke seluruh dunia dan cuba menyesatkan umat Islam di negara kita . Perlu diingat golongan Syiah ini akan memusuhi Ahli Sunnah Wal Jamaah apabila berpeluang memeranginya contoh yang terdekat bagaimana tentera Iran Syiah dan pejuang Hasbullah Syiah telah menbantu rejim Basyar Assad laknatullah telah membunuh saudara-saudara kita di Syria tanpa belas kasihan. Umat Islam jangan berbangga dengan kerajaan Iran dan Hasbullah kononnya mereka anti-Israel, hakikat sebenarnya mereka adalah musuh dalam selimut dan bersekongkol dengan Israel dan Amerika untuk memerangi umat Islam.

Rezeki halal rezeki haram

BEKERJA dan berusaha mencari sumber kehidupan mesti dilakukan dalam kerangka yang dibenarkan agama. Walaupun Islam mewajibkan umatnya bekerja dengan gigih dan berdedikasi, pencarian sumber kehidupan tersebut seharusnya selari dengan aturan yang dibenarkan agama saja. Ini termasuk aspek melibatkan minuman memabukkan seperti arak.
Sebenarnya Islam bukan saja mengharamkan umatnya minum arak, tetapi juga segala perkara yang berhubungkait dengan penghasilan dan pemprosesan arak. Mungkin sesetengah kita beranggapan mereka hanya bekerja, tetapi tidak terlibat dengan meminumnya. Ini salah dan amat bertentangan dengan ajaran Islam. 
Dalam hal ini, ada baiknya kita telusuri apa yang pernah disampaikan Ibnu Mas’ud yang katanya: “Telah dilaknat dalam (urusan) khamar itu, seramai sepuluh orang, iaitu orang yang memerah yang diminta diperahkan, yang meminumnya, yang memberi minuman, orang yang bertugas menghantar, yang membekal, yang menjual, yang membeli dan juga yang menyimpannya.”

Ini kategori manusia yang dikira terlibat secara langsung dengan arak. Jadi, bekerja di premis pemprosesan arak termasuk dalam sepuluh jenis manusia yang akan mendapat laknat Allah sebagaimana digariskan Ibnu Mas’ud tadi. Walauapapun tarikan berupa kebendaan dan upah lumayan, sebagai umat Islam kita ditegah sama sekali terlibat dalam industri pengeluaran arak. Ini kerana segala hasil pendapatannya juga akan termasuk dalam kategori sumber yang haram. Sanggupkah kita makan dan memberi makan anak isteri dengan hasil sumber yang haram?

Amat malang seandainya ada di kalangan umat Islam masih setia dan sayang dengan pekerjaan di indusrti haram seperti kilang memproses arak atau di premis penjualan arak. Ini kerana senario sebegini sangat mengaibkan maruah agama.

Dunia alam jagat ini terlalu luas dengan sumber rezeki yang dibentangkan Allah untuk setiap makhluknya. Yang dilarang sedikit saja sedangkan yang halal terlalu banyak. Yang haram itu jelas terkandung hikmahnya baik dari segi akidah mahupun ditinjau dari sudut sains perubatan ataupun dikaji dari sudut psikologi sosial. 

Dalam Surah Al-Maidah ayat 88, Allah mengarahkan kita makan daripada sumber rezeki halal saja. Firman Allah: “Dan makanlah daripada rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya saja kamu beriman.” 

Kita mesti melihat makna perintah Allah ini dalam skop yang luas dan seharusnya mencakupi ruang lingkup bekerja dengan industri arak itu sebagai sumber pendapatan berasaskan yang haram. Justeru, mukmin yang bertakwa akan mencuba sedaya upaya memastikan dirinya tidak terlibat langsung dalam sesuatu kerja yang berasaskan arak. 

Seandainya ada yang terlibat selama ini, sewajarnya bertaubat dan kembali ke pangkal jalan dengan menggantikannya dengan usaha pekerjaan yang halal. Dengan terus membiarkan diri bergelumang dalam industri haram itu bermakna membiarkan diri terus tenggelam dalam maksiat dan kerja haram. 

Hanya taubat akan memadamkan segala dosa yang lepas. Mukmin yang benar-benar beriman tidak akan sama sekali meletakkan dirinya ke dalam sesuatu yang haram yang ditegah Allah. Jangan meremehkan larangan Allah dalam kehidupan beragama dan ini termasuklah bersubahat dalam sesuatu urusan kerja yang berbentuk haram.

Sebagai mukmin sewajarnya mengambil pesanan Abdullah bin Mas’ud yang pernah mengatakan begini: “Orang mukmin itu menganggap dosanya seperti dia sedang duduk di bawah gunung dan selalu takut kalau-kalau gunung itu jatuh menimpanya, sedangkan orang fujir (pendosa) menganggap dosanya seperti lalat yang menempel di hidungnya lalu (dengan mudah) dia dapat mengusir lalat itu dengan tangannya.” 

Sesungguhnya orang yang melakukan sesuatu dosa selain perilaku syirik dan menyekutukan Allah akan diampun-Nya melalui kesungguhan taubat dan tidak mengulangi kesalahan yang lepas. Dalam Surah Asy-Syura ayat 25-26 Allah berfirman yang bermaksud, “Dialah yang menerima taubat hamba-hamba-Nya dan mengampuni seluruh dosa dan mengetahui apa-apa yang kamu perbuat dan menerima ibadah orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan menambah kepada mereka kurnia-Nya. Dan orang-orang yang kufur bagi mereka siksa yang pedih.” 

Imam Muslim, tokoh perawi hadis sahih ada mengatakan: “Mencari rezeki halal dianggap ibadah dan pahalanya menyamai pahala syahid di medan perang.” 

Ini wasiat buat kita semua agar sentiasa berusaha mencari sumber rezeki di jalan yang halal, suci lagi diberkati Allah. Saidina Ali Abi Talib melalui lidah bestarinya pernah melontarkan kata-kata ini buat kita semua, “Yang halal di dunia ini pasti akan dihisab dan yang haram tempatnya pasti di neraka.”

“Justeru saudaraku seagama, berhati-hatilah dengan apa sahaja yang kita usahakan supaya tidak terhumban ke lembah yang haram sekali gus mempalitkan dosa dan kemurkaan Allah. Ingatlah wahai Mukmin, satu jalan haram yang dilarang masih banyak lagi pintu suci dan halal terbuka terang buat kita menggali khazanah rezeki milik Illahi.”

Selain kita menginsafi kesalahan dan dosa yang dilakukan, kita masih berpeluang balik ke pangkal jalan yang diredai Allah. Asalkan kita cepat menginsafi bahawa kita telah terlajak melakukan dosa dan bersegera bertaubat untuk mendapat pengampunan Allah. Jadikanlah diri kita dan keluarga kita berada dalam suci bersih dalam erti kata sebenar. 

Hal itu termasuk berkenaan aspek pencarian sumber ekonomi. Jangan biarkan apa yang kita dan ahli keluarga makan akan menjadi punca kepada kemurkaan Allah dan diseksa di akhirat kelak. 

Sesungguhnya Allah telah menyediakan begitu luas ruang dan peluang untuk setiap hamba-Nya memperoleh rezeki. Jadi, pilih dan berusahalah dengan sesuatu yang halal dan elakkan diri daripada terjebak dalam kancah yang haram.

"10 Sifat Mahmudah" - Jom Amalkan!



Asas penting dalam kehidupan seorang Mukmin adalah memiliki asas akhlak Islam yang mantap. Akhlak yang nampak lahir dalam kehidupan adalah berasaskan iman kepada Allah s.w.t. Tanpa iman yang kukuk tidak mungkin seseorang mampu melahirkan akhlak Islam dalam kehidupannya. Sifat mahmudah adalah peribadi seorang Mukmin yang memiliki akhlak Islam dan ianya lahir daripada satu proses tarbiyah Imaniah.




Adapun sifat-sifat Mahmudah itu ada 10 sifat iaitu:-

1. Taubat - keazaman untuk meninggalkan segala kesalahan dan dosa-dosa yg telah dilakukan.

Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."
(Surah Al-Baqarah ayat 222)

2. Takut kepada Allah (takwa)- Seseorang Mukmin itu apabila dia mengenali Zat Allah melalui sifat-sifat-Nya, maka jiwanya akan mewarisi perasaan takut terhadap Allah S.W.T.

Firman Allah maksudnya : “ Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati melainkan kamu menyerah diri ( kepada Allah S.W.T. ).”
( Surah Ali Imran ayat 102 )



3. Mahabbah (kasih sayang) sesama mukmin.


Dari Muaz bin Jabal meriwayatkan, aku mendengar Rasulullah s.a.w. meriwayatkan hadis qudsi : Allah Azzawa Jalla berfirman yang bermaksud : " Orang-orang yang mencintai satu sama lain kerana kebesaran dan kemuliaan-Ku akan duduk diatas mimbar-mimbar nur pada hari kiamat, (bahkan) nabi-nabi dan para syuhada akan beriri hati kepada mereka."(Hadis Riwayat Tirmizi)

4. Zuhud - mengambil dunia sekadar yang perlu. Di dalam hati tidak ada kecintaan pada kehidupan di dunia.Zuhud yang sebenarnya adalah mengutamakan kehidupan akhirat dari dunia. Firman Allah s.w.t bermaksud :“Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.” (Surah Al-A’laa: 16-17)



5. Sabar. Bersabar dengan ujian dan dugaan daripada Allah S.W.T.


Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Sesungguhnya orang yang bersabar akan diberikan pahala mereka tanpa hisab"
(Surah az-Zumar: 10).



6. Syukur . Melahirkan rasa berterima kasih kepada nikmat Allah S.W.T. yang banyak diperolehi.


Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :"Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab."
(Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)



7. Ikhlas dan benar. Melaksanakan sesuatu amalan semata-mata kerana Allah S.W.T.


Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu wahai Muhammad dengan membawa kebenaran,oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepadaNya"



8. Tawakkal - sentiasa berserah diri kepada Allah S.W.T. setelah berazam, seterusnya diikuti dengan usaha.


Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud : "Dan (ingatlah), sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)."
(Surah al-Thalaq ayat 3).



9. Reda dengan Qadak dan Qadar.


Firman Allah lagi maksudnya : "Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (loh mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah ".(Surah Al-Hadid ayat 22)

Allah berfirman maksudnya : "Tidak luput darpada pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarah di bumi atau pun di langit. Tidak ada yang lebih kecil dan tidak (pula) yang lebih besar daripada itu melainkan (semuanya tercatat) dalam kitab yang nyata (loh mahfuz). " (Surah Yunus ayat 61)


10. Mengingati mati - Merasai hidup di dunia ini adalah sementara dan di hari akhiratlah kehidupan yang kekal abadi.


Sabda Nabi S.A.W. bermaksud ” Sepintar-pintar manusia ialah orang yang sentiasa mengingati mati dan sentiasa bersiap sedia menghadapinya, mereka itulah orang yang bijaksana”.

Sifat-sifat mazmumah pula adalah berlawanan dengan sifat-sifat mahmudah maka perlulah ditinggalkan untuk menjadi mukmin yang diredai oleh Allah S.W.T.

Sahabat yang dikasihi Allah,
Marilah kita beramal dengan amalan-amalan yang membawa kita menuju jalan ke syurga Allah S.W.T. Jalan ke syurga Allah S.W.T. bukanlah mudah kerana perlu kepada pengorbanan dan istiqamah dan sanggup bersusah payah ketika di dunia ini. Bersusah payah sedikit di dunia adalah lebih baik daripada menderita berpanjangan ketika kita bertemu dengan Allah S.W.T. di hari akhirat nanti.

Saturday 7 September 2013

menuntut ilmu

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Bismillahirrohamanirrohim.

Menuntut ilmu adalah suatu kewajiban bagi setiap muslim dan di bawah ini ada beberapa hadits yang berhubungan dengan menuntut ilmu. Semoga bermanfaat.

 
Hadits riwayat Ibnu Abdil Bar

قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اُطْلُبُوْاالْعِلْمَ وَلَوْ بِالصِّيْنَ فَاِنَّ طَلَبَ الْعِلْمِ فَرِيْضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ اِنَّ الْمَلاَئِكَةَ تَضَعُ اَجْنِحَتَهَا لِطَالِبِ الْعِلْمِ رِضًابِمَا يَطْلُبُ
Artinya: “Tuntutlah ilmu walaupun di negeri Cina, karena sesungguhnya menuntut ilmu itu wajib bagi setiap muslim. Sesungguhnya para malaikat meletakkan sayap-sayap mereka kepada para penuntut ilmu karena senang (rela) dengan yang ia tuntut. (H.R. Ibnu Abdil Bar).





مَنْ سَلَكَ طَرِيْقًا يَلْتَمِسُ فِيْهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللهُ بِهِ طَرِيْقًا اِلَى الْجَنَّةِ ـ رواه مسلم
Artinya: “Barang siapa menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju surga.” (HR. Muslim).
 
 
Oleh itu, marilah kita bersama-sama berusaha untuk memperoleh ilmu agar kita menjadi insan yang berguna dunia dan akhirat.