Thursday, 12 September 2013

Rezeki halal rezeki haram

BEKERJA dan berusaha mencari sumber kehidupan mesti dilakukan dalam kerangka yang dibenarkan agama. Walaupun Islam mewajibkan umatnya bekerja dengan gigih dan berdedikasi, pencarian sumber kehidupan tersebut seharusnya selari dengan aturan yang dibenarkan agama saja. Ini termasuk aspek melibatkan minuman memabukkan seperti arak.
Sebenarnya Islam bukan saja mengharamkan umatnya minum arak, tetapi juga segala perkara yang berhubungkait dengan penghasilan dan pemprosesan arak. Mungkin sesetengah kita beranggapan mereka hanya bekerja, tetapi tidak terlibat dengan meminumnya. Ini salah dan amat bertentangan dengan ajaran Islam. 
Dalam hal ini, ada baiknya kita telusuri apa yang pernah disampaikan Ibnu Mas’ud yang katanya: “Telah dilaknat dalam (urusan) khamar itu, seramai sepuluh orang, iaitu orang yang memerah yang diminta diperahkan, yang meminumnya, yang memberi minuman, orang yang bertugas menghantar, yang membekal, yang menjual, yang membeli dan juga yang menyimpannya.”

Ini kategori manusia yang dikira terlibat secara langsung dengan arak. Jadi, bekerja di premis pemprosesan arak termasuk dalam sepuluh jenis manusia yang akan mendapat laknat Allah sebagaimana digariskan Ibnu Mas’ud tadi. Walauapapun tarikan berupa kebendaan dan upah lumayan, sebagai umat Islam kita ditegah sama sekali terlibat dalam industri pengeluaran arak. Ini kerana segala hasil pendapatannya juga akan termasuk dalam kategori sumber yang haram. Sanggupkah kita makan dan memberi makan anak isteri dengan hasil sumber yang haram?

Amat malang seandainya ada di kalangan umat Islam masih setia dan sayang dengan pekerjaan di indusrti haram seperti kilang memproses arak atau di premis penjualan arak. Ini kerana senario sebegini sangat mengaibkan maruah agama.

Dunia alam jagat ini terlalu luas dengan sumber rezeki yang dibentangkan Allah untuk setiap makhluknya. Yang dilarang sedikit saja sedangkan yang halal terlalu banyak. Yang haram itu jelas terkandung hikmahnya baik dari segi akidah mahupun ditinjau dari sudut sains perubatan ataupun dikaji dari sudut psikologi sosial. 

Dalam Surah Al-Maidah ayat 88, Allah mengarahkan kita makan daripada sumber rezeki halal saja. Firman Allah: “Dan makanlah daripada rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya saja kamu beriman.” 

Kita mesti melihat makna perintah Allah ini dalam skop yang luas dan seharusnya mencakupi ruang lingkup bekerja dengan industri arak itu sebagai sumber pendapatan berasaskan yang haram. Justeru, mukmin yang bertakwa akan mencuba sedaya upaya memastikan dirinya tidak terlibat langsung dalam sesuatu kerja yang berasaskan arak. 

Seandainya ada yang terlibat selama ini, sewajarnya bertaubat dan kembali ke pangkal jalan dengan menggantikannya dengan usaha pekerjaan yang halal. Dengan terus membiarkan diri bergelumang dalam industri haram itu bermakna membiarkan diri terus tenggelam dalam maksiat dan kerja haram. 

Hanya taubat akan memadamkan segala dosa yang lepas. Mukmin yang benar-benar beriman tidak akan sama sekali meletakkan dirinya ke dalam sesuatu yang haram yang ditegah Allah. Jangan meremehkan larangan Allah dalam kehidupan beragama dan ini termasuklah bersubahat dalam sesuatu urusan kerja yang berbentuk haram.

Sebagai mukmin sewajarnya mengambil pesanan Abdullah bin Mas’ud yang pernah mengatakan begini: “Orang mukmin itu menganggap dosanya seperti dia sedang duduk di bawah gunung dan selalu takut kalau-kalau gunung itu jatuh menimpanya, sedangkan orang fujir (pendosa) menganggap dosanya seperti lalat yang menempel di hidungnya lalu (dengan mudah) dia dapat mengusir lalat itu dengan tangannya.” 

Sesungguhnya orang yang melakukan sesuatu dosa selain perilaku syirik dan menyekutukan Allah akan diampun-Nya melalui kesungguhan taubat dan tidak mengulangi kesalahan yang lepas. Dalam Surah Asy-Syura ayat 25-26 Allah berfirman yang bermaksud, “Dialah yang menerima taubat hamba-hamba-Nya dan mengampuni seluruh dosa dan mengetahui apa-apa yang kamu perbuat dan menerima ibadah orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan menambah kepada mereka kurnia-Nya. Dan orang-orang yang kufur bagi mereka siksa yang pedih.” 

Imam Muslim, tokoh perawi hadis sahih ada mengatakan: “Mencari rezeki halal dianggap ibadah dan pahalanya menyamai pahala syahid di medan perang.” 

Ini wasiat buat kita semua agar sentiasa berusaha mencari sumber rezeki di jalan yang halal, suci lagi diberkati Allah. Saidina Ali Abi Talib melalui lidah bestarinya pernah melontarkan kata-kata ini buat kita semua, “Yang halal di dunia ini pasti akan dihisab dan yang haram tempatnya pasti di neraka.”

“Justeru saudaraku seagama, berhati-hatilah dengan apa sahaja yang kita usahakan supaya tidak terhumban ke lembah yang haram sekali gus mempalitkan dosa dan kemurkaan Allah. Ingatlah wahai Mukmin, satu jalan haram yang dilarang masih banyak lagi pintu suci dan halal terbuka terang buat kita menggali khazanah rezeki milik Illahi.”

Selain kita menginsafi kesalahan dan dosa yang dilakukan, kita masih berpeluang balik ke pangkal jalan yang diredai Allah. Asalkan kita cepat menginsafi bahawa kita telah terlajak melakukan dosa dan bersegera bertaubat untuk mendapat pengampunan Allah. Jadikanlah diri kita dan keluarga kita berada dalam suci bersih dalam erti kata sebenar. 

Hal itu termasuk berkenaan aspek pencarian sumber ekonomi. Jangan biarkan apa yang kita dan ahli keluarga makan akan menjadi punca kepada kemurkaan Allah dan diseksa di akhirat kelak. 

Sesungguhnya Allah telah menyediakan begitu luas ruang dan peluang untuk setiap hamba-Nya memperoleh rezeki. Jadi, pilih dan berusahalah dengan sesuatu yang halal dan elakkan diri daripada terjebak dalam kancah yang haram.

No comments:

Post a Comment