Thursday, 12 September 2013

"10 Sifat Mahmudah" - Jom Amalkan!



Asas penting dalam kehidupan seorang Mukmin adalah memiliki asas akhlak Islam yang mantap. Akhlak yang nampak lahir dalam kehidupan adalah berasaskan iman kepada Allah s.w.t. Tanpa iman yang kukuk tidak mungkin seseorang mampu melahirkan akhlak Islam dalam kehidupannya. Sifat mahmudah adalah peribadi seorang Mukmin yang memiliki akhlak Islam dan ianya lahir daripada satu proses tarbiyah Imaniah.




Adapun sifat-sifat Mahmudah itu ada 10 sifat iaitu:-

1. Taubat - keazaman untuk meninggalkan segala kesalahan dan dosa-dosa yg telah dilakukan.

Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."
(Surah Al-Baqarah ayat 222)

2. Takut kepada Allah (takwa)- Seseorang Mukmin itu apabila dia mengenali Zat Allah melalui sifat-sifat-Nya, maka jiwanya akan mewarisi perasaan takut terhadap Allah S.W.T.

Firman Allah maksudnya : “ Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati melainkan kamu menyerah diri ( kepada Allah S.W.T. ).”
( Surah Ali Imran ayat 102 )



3. Mahabbah (kasih sayang) sesama mukmin.


Dari Muaz bin Jabal meriwayatkan, aku mendengar Rasulullah s.a.w. meriwayatkan hadis qudsi : Allah Azzawa Jalla berfirman yang bermaksud : " Orang-orang yang mencintai satu sama lain kerana kebesaran dan kemuliaan-Ku akan duduk diatas mimbar-mimbar nur pada hari kiamat, (bahkan) nabi-nabi dan para syuhada akan beriri hati kepada mereka."(Hadis Riwayat Tirmizi)

4. Zuhud - mengambil dunia sekadar yang perlu. Di dalam hati tidak ada kecintaan pada kehidupan di dunia.Zuhud yang sebenarnya adalah mengutamakan kehidupan akhirat dari dunia. Firman Allah s.w.t bermaksud :“Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.” (Surah Al-A’laa: 16-17)



5. Sabar. Bersabar dengan ujian dan dugaan daripada Allah S.W.T.


Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Sesungguhnya orang yang bersabar akan diberikan pahala mereka tanpa hisab"
(Surah az-Zumar: 10).



6. Syukur . Melahirkan rasa berterima kasih kepada nikmat Allah S.W.T. yang banyak diperolehi.


Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :"Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab."
(Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)



7. Ikhlas dan benar. Melaksanakan sesuatu amalan semata-mata kerana Allah S.W.T.


Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu wahai Muhammad dengan membawa kebenaran,oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepadaNya"



8. Tawakkal - sentiasa berserah diri kepada Allah S.W.T. setelah berazam, seterusnya diikuti dengan usaha.


Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud : "Dan (ingatlah), sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)."
(Surah al-Thalaq ayat 3).



9. Reda dengan Qadak dan Qadar.


Firman Allah lagi maksudnya : "Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (loh mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah ".(Surah Al-Hadid ayat 22)

Allah berfirman maksudnya : "Tidak luput darpada pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarah di bumi atau pun di langit. Tidak ada yang lebih kecil dan tidak (pula) yang lebih besar daripada itu melainkan (semuanya tercatat) dalam kitab yang nyata (loh mahfuz). " (Surah Yunus ayat 61)


10. Mengingati mati - Merasai hidup di dunia ini adalah sementara dan di hari akhiratlah kehidupan yang kekal abadi.


Sabda Nabi S.A.W. bermaksud ” Sepintar-pintar manusia ialah orang yang sentiasa mengingati mati dan sentiasa bersiap sedia menghadapinya, mereka itulah orang yang bijaksana”.

Sifat-sifat mazmumah pula adalah berlawanan dengan sifat-sifat mahmudah maka perlulah ditinggalkan untuk menjadi mukmin yang diredai oleh Allah S.W.T.

Sahabat yang dikasihi Allah,
Marilah kita beramal dengan amalan-amalan yang membawa kita menuju jalan ke syurga Allah S.W.T. Jalan ke syurga Allah S.W.T. bukanlah mudah kerana perlu kepada pengorbanan dan istiqamah dan sanggup bersusah payah ketika di dunia ini. Bersusah payah sedikit di dunia adalah lebih baik daripada menderita berpanjangan ketika kita bertemu dengan Allah S.W.T. di hari akhirat nanti.

No comments:

Post a Comment